Wednesday 6 April 2011

Mendekati Untuk Mencintai

Setiap manusia mempunyai perasaan cinta dan menyintai. Cinta itu juga mempunyai tafsiran yang luas dan berbeza-beza. Rasa cinta dan sayang itu bukanlah hanya terbatas kepada lelaki dan wanita sahaja. Cinta itu sangat universal dan boleh dizahirkan dalam apa jua bentuk dan apa jua keadaan. Rasa cinta itu boleh diterjemahkan kepada rasa cinta terhadap kerjaya atau kerja, harta, ilmu dan sebagainya.

Namun dalam dunia serba moden ini, apabila menyentuh mengenai cinta ia akan ditujukan kepada sama ada cinta antara lelaki dan wanita ataupun cinta manusia kepada kebendaan iaitu harta dan kemewahan. Pemikiran jumud begini boleh menjadikan manusia hamba duit tanpa memikirkan mengenai akhirat.

Namun begitu masih ada yang bijak menguasai dunia dan mengharapkan kebaikan di akhirat. Mereka ini adalah golongan yang beruntung kerana diberikan ni'mat untuk merasai kedua-duanya. Dan seharusnya mereka memperolehi keberkatan ini hanyalah kerana pencarian mereka yang seimbang antara dunia dan akhirat tanpa lalai walaupun dalam seminit.



Sesungguhnya mereka seperti ini telah disebutkan oleh Allah SWT yang bermaksud:
"Dan bersabarlah kamu bersama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi hari dan senja hari dengan mengharapkan keredaan-Nya; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batasnya ." (Surah al-Khafi : 28)

Sebagai seorang Muslim yang akan dibangkitkan pada hari kiamat kelak perlu mempersiapkan diri untuk mendapat kecintaan yang hakiki di akhirat nanti. Memang benar, kehidupan di dunia juga perlu dititikberatkan bagi membawa satu imej yang hebat di mata-mata musuh Islam. Namun begitu, segala kekayaan dan kemewahan itu pula, hendaklah jangan kedekut untuk dibelanjakan bagi mencapai kesenangan di akhirat.

Itulah yang dinamakan keseimbangan antara kehendak dunia dan keperluan akhirat. Namun, ramai yang pada hari ini apabila sudah menemui kejayaan di dunia akan melupakan kehidupan selepas kematian nanti. Ketika itulah segala amalan di dunia akan diambil kira. Segenap 'sen' harta akan dihisap sama ada digunakan ke jalan Allah ataupun segala kemewahan itulah yang melalaikan hamba-Nya ini.

Wahai hamba Allah, apabila engkau meminta kepada Allah ketika hampir dengan-Nya, mintalah agar Dia memperbaiki semua yang ada pada dirimu. Berdoalah:
“Ya Allah, perbaikilah segala keadaanku.”
Mintalah kepada Allah agar Dia memperbaiki keadaanmu disertai perasaan reda terhadap semua ketetapan-Nya. Iaitu pasrah dan reda terhadap semua qada’ dan qadar-Nya.

Engkau adalah seorang hamba yang keliru jika ketika diminta kembali kepada-Nya dengan melakukan ketaatan, engkau terus lari dari-Nya dengan melakukan maksiat. Lari dari Allah ditanda dengan perbuatan-perbuatan jahat, melanggar perintah-Nya, keinginan yang menyimpang dan dengan niat yang salah.

Bila engkau lalai dalam solat, mensia-siakan puasa, mengeluh akan kurniaan Allah dan mencintai dunia beerti engkau telah lari dari Allah. Kerana hawa nafsu telah membuat engkau berani pada-Nya. Engkau telah berpaling dari Allah dikala engkau terdorong pada indahnya dunia, terbuai dengannya, sibuk memikirkannya serta lupa pada hebatnya hari akhirat.

Wahai hamba Allah, seringkali engkau menunjukkan rasa cinta dan lebih tertumpu kepada makhluk. Tetapi engkau amat jarang menunjukkan rasa cinta kepada Allah SWT. Seandainya dibukakan bagi engkau pintu untuk mencintai Allah, pasti engkau akan menyaksikan pelbagai keajaiban dan mendapat reda-Nya.

Rasa cinta kepada Allah dapat dibuktikan dengan menunjukkan ketaatan kepada-Nya, melaksanakan solat dua rakaat dimalam hari, membaca al-Quran, menziarahi orang sakit, menyolatkan jenazah, bersedekah kepada fakir miskin, membantu saudara muslim yang lain, mengadakan kegiatan yang baik, meyebarkan ilmu ataupun membuang duri di jalanan.

Pedang tidak boleh dipakai untuk berperang kecuali dengan bantuan lengan yang kuat. Demikian juga dengan amal soleh. Ia memerlukan seorang mukmin yang ikhlas dalam mengerjakannya.

Ibadat yang paling ringan yang boleh engkau pakai untuk menunjukkan rasa cinta kepada Allah adalah berzikir secara tulus. Kerana zikir itu boleh dikerjakan meskipun oleh orang yang sudah tua, oleh orang sakit yang terlantar, oleh pekerja yang sibuk dengan tugasnya ataupun oleh orang yang malas yang sedang berbaring di tempat tidurnya.
Allah berfirman:
“Apabila kalian telah menunaikan solat, berzikirlah kepada Allah, dalam keadaan berdiri, duduk ataupun berbaring.” (an-Nisa’ : 103)
Ketahuilah bahawa sesiapa yang mengarahkan cintanya kepada Allah, Allah juga akan menebarkan kemurahan kepadanya. Orang-orang yang berbuat baik akan mendapat kebaikan (yang setaraf) bahkan lebih daripada itu.

Tetapi aneh apabila seseorang lebih bersahabat dan lebih mencintai hawa nafsu padahal ia merupakan suatu malapetaka yang membuatkan manusia menyimpang dari bersahabat dan mencintai Allah. Padahal Allah merupakan sumber kebaikan. Siapa yang benar-benar ingin berjalan menuju Allah, hendalah ia mempunyai tekad yang kuat.

No comments:

Post a Comment